Gambar: BAYI ini yang dilahirkan Khamis lalu mempunyai dua hidung, dua pasang mata, dua pasang bibir.
Bayi itu yang seberat 3.2 kilogram, menghidap keadaan yang jarang berlaku yang dikenali sebagai salinan kraniofacial iaitu satu kepala dengan dua muka.
Kecuali telinga, bayi itu memiliki dua hidung, dua pasang bibir dengan sumbing pada bahagian atas bibir kanan dan dua pasang mata.
Bercakap kepada akhbar The nation, pakar perubatan di HFH, Dr Nasira berkata, kemungkinan bayi itu untuk hidup lebih lama adalah terlalu tipis.
“Kami tidak menaruh harapan mengenai hayatnya,” katanya.
Menurut Nasira, keadaan bayi itu tidak sama seperti kembar siam yang boleh dipisahkan menerusi pembedahan.
“Pembedahan tidak mungkin dapat dilakukan kerana kedua-dua mukanya bercantum begitu rapat,” kata pakar itu.
Nasira berkata, bayi itu dilahirkan menerusi proses biasa dan si ibu masih berada di bilik bersalin untuk menjalani rawatan.
Menurut doktor bertugas di Bilik Bersalin, keadaan ibu bayi itu, Shahida Perven stabil. Dia bagaimanapun kelihatan bimbang dan tidak banyak bercakap.
Shahida dibawa ke HFH dari Palandri, sebuah daerah di Azad Jammu dan Kashmir (AJK) beberapa hari sebelum melahirkan bayi dua muka itu.
Wanita itu mempunyai dua anak yang normal sebelum ini.
Suaminya, Khalil Ahmed bekerja sebagai buruh.
Kelahiran bayi dengan dua muka itu mencetuskan sensasi di bandar berkenaan menyebabkan sejumlah besar penduduk, termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua bekerumun di Jabatan Kanak-Kanak untuk melihatnya.
Kesesakan yang berlaku menyebabkan pihak hospital terpaksa meminta bantuan polis bagi mengawal orang ramai. - Agensi