“Mengapa orang Islam banyak buang masa untuk bersembahyang?” Anda terkejut? Sudah tentu. Ini adalah soalan yang jarang kita dengar. Soalan ini ditanyakan pada saya lebih kurang 15 tahun yang lalu ketika berada di Jepun. Ia diajukan oleh pelajar-pelajar Jepun yang melihat pelajar-pelajar Malaysia solat lima waktu sehari semalam.
Sebelum menjawab soalan ini, saya menyoal  kembali pelajar-pelajar Malaysia yang hadir dalam majlis usrah itu:
“Mengapa  soalan seumpama ini ditanyakan ketika kamu di sini, tidak di  Malaysia?”
Seorang pelajar menjawab, “kerana mereka jarang melihat orang  solat.”
Yang lain menjawab, “mereka menyembah berhala mereka sekali-skala.  Tidak sekerap dan selama kita umat Islam.” 
Saya senyum. Pelajar-pelajar itu berminat  sungguh untuk mendalami Islam. Mereka mendekati Islam lebih serius berbanding  ketika mereka di Malaysia dahulu. Ketika di perantauan, ramai yang kembali gigih  menghayati agama sebagai perisai diri daripada kejutan budaya dan godaan  persekitaran yang terlalu mencabar.
“Ada sebab lain?” tanya saya sekadar  mengundang reaksi. Mereka diam. Mungkin terus berfikir. 
“Orang Jepun sangat menghargai masa. Pengurusan masa mereka sangat efisien. Majoritinya tidak membuang masa…” kata saya meluahkan hasil pemerhatian secara rambang. Memang, ketika di dalam kereta api kebanyakan mereka membaca. Buku-buku dan komik banyak tersusun di bahagian atas syiling kereta api.
“Jadi bagi orang Jepun yang tidak membuang masa, 5 ke 10 minit yang kita luangkan untuk mengerjakan satu waktu solat dirasakan telah membuang masa. Sebab itu mereka bertanya, mengapa kita membuang masa. Sebab itu soalan itu timbulnya di kalangan orang Jepun. Kenapa tidak di kalangan orang kita di Malaysia? ”
“Sebab orang kita masih ramai yang  membuang masa,” jawab seorang pelajar secara spontan.
Saya senyum, sambil  mengangguk kepala. Bagi orang yang banyak membuang masa, apalah ertinya 5 atau  10 minit untuk solat. Bagi mereka yang suka melepak, berbual kosong,  berlegar-legar di pusat membeli-belah sampai berjam-jam apalah harga masa yang  sebanyak itu. Tidak jadi kudis. Namun tidak bagi orang Jepun, masa beberapa  minit untuk aktiviti yang tidak penting (termasuk solat – pada pandangan mereka)  sangat membazir masa. 
“Apa yang saudara jawab?” tanya saya  menduga. Gembira melihat mereka tercabar begitu. Kekadang kecintaan dan  kefahaman kita terhadap Islam hanya timbul dengan adanya cabaran dan  perlecehan.
“Susah nak jawab sebab Allah perintahkan kita. Mana mereka boleh  terima jawapan yang begitu.”
“Perlu dijawab begitu. Sebab Allah, Tuhan kami  perintahkan begitu.” 
“ Tapi kalau ditanya lagi apa sebabnya  Tuhan kamu perintahkan begitu?”
“Jawablah, Allah Maha Mengetahui apa yang  terbaik untuk hamba-Nya daripada hamba itu sendiri,” jawab saya.
“Mungkin  mereka terima jawapan dari perspektif kita. Tapi bagaimana kalau kita nak jawab  yang logik dan rasional mengikut perspektif mereka?” tanya seorang penuntut  tahun akhir kejuruteraan elektrik (seingat saya).
Bagus soalan itu. Saya  memang menantikan respons yang lebih kritikal dan berani. 
“Tanyakan mereka, apa yang kamu buat untuk memastikan alat-alat teknologi kamu dalam keadaan yang baik? Bukankah kamu sentiasa menyelenggarakannya? Lebih canggih alat teknologi kamu, maka semakin kerap kamu menyelenggarakannya. Kamu sentiasa buat “maintanance” kapal terbang, kereta api elektrik (“bullet train”) dan kereta kamu…” terang saya.
Pelajar-pelajar yang berjumlah 20 orang  itu tidak berganjak. Hawa musim dingin kota Ibaraki itu sekali-sekala mencuri  masuk melalui regangan tingkap yang terbuka. Nyaman.
“Kemudian tanyakan  mereka siapa yang lebih canggih, alat-alat atau jentera teknologi yang dicipta  itukah atau pun manusia yang menciptanya?”
“Tentulah manusia,” jawab mereka  hampir serentak.
“Nah, kalau begitu tanyakan mereka, kalau kamu sering malah  sentiasa selenggarakan alat-alat teknologi yang canggih, mengapa kamu tidak  selenggarakan diri kamu yang lebih canggih? 
“Mereka akan tanya, bagaimana nak  selenggarakan diri kami?”
“Itu kami tidak pasti. Tetapi bagi kami orang  Islam, solat adalah cara kami “maintenance” diri kami. Malang sekali kalau kamu  hanya menyelenggarakan alat-alat teknologi kamu tetapi kamu lupa  menyelenggarakan diri kamu sendiri.”
“Kalau mereka bertanya apakah yang  dimaksudkan dengan menyelenggarakan diri pada seorang manusia?” 
“Seorang itu dikatakan menyelenggarakan dirinya jika ia membersihkan hati, menstabilkan emosi dan menenangkan fikirannya. Inilah yang berlaku dalam solat yang sempurna. Seorang itu mengadu, merayu, merintih dan menyerahkan kembali segala kegalauan, keresahan dan keserabutan jiwanya kepada zat yang mampu dan mahu menyelesaikan segala-galanya. Siapa lagi kalau bukan kepada Allah!”
“Orang yang solat tidak akan sakit jiwa.  Stres dan tekanan emosinya terkawal,” sampuk seorang pelajar di barisan  belakang.
“Sebab itu orang Islam tidak bunuh diri walau bagaimana besar  sekali pun masalah yang mereka hadapi,” tambah yang lain.
“Tidak seperti  orang Jepun, kadar membunuh diri di kalangan mereka tinggi!”
“Dan ketika  itulah mereka mungkin boleh disedarkan betapa solat yang beberapa minit itu  bukan sahaja tidak membuang masa bahkan sangat penting sekali dalam kehidupan  seorang manusia,” ujar saya sebagai satu kesimpulan. 
SOLAT ITU SOAL PERIBADI?
Itu kisah orang Jepun yang bukan Islam.  Sekarang mari kita ikuti kisah orang Islam sendiri dengan solat.
“Maaf, solat  ini soal peribadi. Siapa yang nak buat sila, dah ada surau pun dalam bangunan  ini. Siapa yang tak mahu, tak boleh paksa. Itu hal masing-masing.”
“Ya, solat  tidak boleh dipaksa. Tetapi kita sebagai saudara seIslam, wajib mengingatkan.  Dan saya ingin mengingatkan saudara, solat bukan soal peribadi,” tekan  saya. 
“Mengapa?”
“Solat itu mencegah seseorang dari  kejahatan dan kemungkaran.” 
“Itu saya tahu. Solat boleh mencegah  kemungkaran. Saya pun selalu juga dengar kuliah-kuliah Subuh. Tapi ini dalam  syarikat, kita tak perlu mengulang input-input dalam kuliah Subuh tu. Di sini  kita bekerja, kita berniaga…”
“Tuan, masa kita berniaga dan bekerjalah  selalunya godaan dan cabaran datang. Banyak kemungkaran dalam berniaga dan  bekerja,” tusuk saya perlahan. 
“Kemungkaran dalam  kerja? Apa tu?”
“Ponteng, curi tulang, rasuah, melawan atasan, menindas bawahan,  umpat, adu domba dan sebagainya. Kemungkaran ini bukan soal peribadi. Jika  seorang melakukannya, ia memudaratkan yang lain. Lama-kelamaan ia berjangkit  menjadi budaya yang negatif dalam syarikat. Ini akan menjejaskan operasi dan  perjalanan syarikat secara keseluruhan.” 
“Kita sudah ada undang-undang dan  disiplin organisasi. Itu sebagai kawalan untuk anggota kita tidak melakukan  penyelewengan.”
“Undang-undang mencegah kemungkaran dari luar tetapi solat  mencegah kemungkaran dari dalam. Kita perlukan kedua-dua pendekatan. Bahkan  dalam apa jua keadaan pencegahan dari dalam itu yang lebih berkesan.”  
“Kenapa?” tanyanya sepatah-sepatah.  Pengurus bahagian sumber manusia itu masih tidak yakin betapa pentingnya kursus  pemantapan solat dilaksanakan dalam organisasi itu. Sejak dari tadi saya  terkial-kial untuk meyakinkan orang Islam sendiri tentang kaedah Islam mencegah  penyelewengan dan salah laku dalam syarikatnya.
“Sebab solat akan membina  rasa takut, cinta dan patuh kepada Allah. Orang yang begini akan meninggalkan  kejahatan dengan kerelaan hati sendiri. Ataupun jika mereka tersalah, mereka  akan segera bertaubat.” 
“Ah, apa pula pihak atasan kata nanti.  Kita anjurkan kursus solat pula, sedangkan selama ini kita giat menjalan  kursus-kursus yang memberi kemahiran profesional kepada anggota-anggota kita,”  katanya berterus-terang.
“Orang atasan tidak mahukah melihat orang-orang  bawahan dan seluruh kakitangan syarikat ini jadi baik? Solat sangat penting  untuk membentuk manusia jadi baik.” 
Dia merenung muka saya lalu  berkata,”tetapi kalau baik sahaja tetapi tak tahu bekerja, buat apa?”
“Dan  kalau tahu buat kerja sahaja tetapi tidak jujur, buat apa?” balas saya.  
Setelah melihat dia diam, saya menambah,  “sebenarnya kita perlu kedua-keduanya sekali. Pemantapan solat pun perlu,  peningkatan kemahiran profesional pun perlu. Alangkah baiknya jika kedua-duanya  dilaksanakan secara bersepadu dalam syarikat ini. Kita tidak ada masalah,  bukankah seluruh kakitangan syarikat ini beragama Islam?”
“Kos… kos dan  peruntukan latihan akan bertambah,” balasnya. 
Kali ini saya pula terdiam.
“Tuan,  untuk program latihan kemahiran kita rela berbelanja besar. Mengapa untuk  program pemantapan nilai-nilai Islam ini kita terlalu berkira?”
“Itu soal  pihak atasan…” kilasnya. 
“Tuan, di atas pihak atasan ini ada yang lebih atas lagi. Allah akan bertanya kepada kita, apa yang kita laksanakan untuk mendidik orang bawahan kita. Syarikat hakikatnya sebuah institusi. Kita akan ditanya oleh Allah tentang orang di bawah pimpinan kita. Bukan soal makan-minum dan kebajikan lahiriah mereka sahaja, tetapi juga soal iman dan Islam mereka.”
“Baik tu baik. Tetapi…”
“Tuan, jika  syarikat terlalu berkira dalam soal-soal tarbiah begini, saya khuatir  penyelewengan, rasuah, curi tulang dan lain-lain sikap negatif yang tuan katakan  mula merebak dalam syarikat ini akan bertambah kronik. Pembaziran dan  penyelewengan akan memporak-perandakan operasi. Produktiviti dan kualiti akan  menurun. Penjualan juga akan merosot. Pembaziran berleluasa. Rasuah pula akan  menyebabkan ketirisan wang yang bukan sedikit! Ini menelan kos yang lebih  berbanding kos pendidikan,” pujuk saya. 
Dia termenung. Sambil menepuk-nepuk  tangannya ke meja dia berkata, “insya-Allah, nantilah akan saya fikirkan  dulu.”
Saya menarik nafas. Begitulah cabaran dalam berdakwah. Setelah  berhujah, kita perlu pasrah menyerah kepada Allah, pohon taufik dan hidayah-Nya.  Apa pun benarlah seperti yang selalu diungkapkan, Islam adalah agama yang paling  banyak disalah tafsirkan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam…. tetapi oleh  orang Islam sendiri. 
Di Jepun, di Malaysia atau di mana  sahaja, Islam sering disalah tafsirkan. Namun jangan pesimis atau kecewa. Itu  bermakna peluang dan ruang untuk dakwah sentiasa terbuka! 



 
 
 
 
 
 
 
 
