Artikel ini mama copy dari email yang dihantar dari kak ngah ...Gambar? Adalah koleksi peribadi mama..
Minda saya kembali aktif setelah mengendalikan dari program Asuh Fitrah-Memupuk Potensi Ana Ahad lepas. Alhamdulillah dengan peluang yang diberi. Mengendalikan Asuh fitrah sebenarnya muhasabah selain daripada perkongsian yang sangat bermakna bagi diri saya.
Asuh fitrah banyak mematangkan dan mengajar saya erti perjuangan . Minda saya masih terbayang muka ibu bapa muda yang hadir pada program itu. Sesuatu pada diri mereka yang mengingatkan ketika saya bergelar ibu muda.
Kalau saya boleh berkongsi sedikit, saya dapati golongan ibu bapa muda memerlukan perkongsian ikhlas pengalaman kita yang lebih berusia. Mereka memerlukan sentuhan sebenar perjalanan suka duka kita sebagai ibu atau bapa. Kita semua sama saja, mengharungi cabaran sebagai ibu bapa dengan belajar dan belajar dan belajar (learn, unlearn and relearn) . Dan kita masih membuat kesilapan dan menjadikan masalah sebagai peluang kita untuk belajar dan lebih mengenali diri. Tapi apa yang penting kita harus terus berkongsi bagi mendidik antara satu sama lain dan mendidik masyarakat. Itulah perjuangan.
Anak adalah anugerah yang tidak terhingga kepada kita. Sebagai ibu bapa kita mahukan yang terbaik untuk anak dan memang sedia berkorban apa sahaja. Dalam merealisasikan impian murni ini kita kadang-kadang terperangkap dalam kitaran hidup yang rutin dan memenatkan
Kita alpa sedikit keperluan diri kita. Kita juga lupa “ to have fun” . Tanpa kita sedari kadang-kadang kita tersedut masuk ke lubuk pusaran hidup yang mula menjadi ganas.
Saya dapati ibu-ibu selalunya jauh lebih mudah terperangkap berbanding golongan bapa. Mungkin saya mengaitkan diri dengan suami saya yang lebih simple cara hidupnya dan “a kampung boy”. Atau kadang-kadang saya menjadi mangsa stigma masyarakat yang mengharapkan saya berkorban dan melakukan semua seperti istilah “superwoman”.
Dalam hidup ini kita perlu mencari keseimbangan dan menuju kematangan. Kehadiran seorang anak sebenarnya menyediakan lebih ruang untuk diri kita mencari keseimbangan, bergembira dan menjadi lebih matang. Dalam lain perkataan kita juga membesar bersama anak-anak. Mengasuh anak-anak seharusnya sesuatu yang menyeronokkan dan kita masih boleh melakukan apa yang dahulunya menjadi kegemaran atau hobi kita. Malah dengan kehadiran anak-anak ia jauh lebih mudah dan seronok.
)J( Ya, betul. Mengapa tak percaya….
Cuma kita perlu lebih kreatif melayari kehidupan dalam institusi keluarga dengan sumber manusia yang ada iaitu kita suami isteri dan anak-anak yang mewarnai kehidupan dengan pelbagai corak setiap hari.
Stres kerja rumah, pejabat dan kerja dakwah boleh diatasi bersama keluarga. Antara yang boleh kita lakukan adalah:-
1. Bermain –Fitrah anak belajar melalui bermain. Kita juga perlu bermain dengan anak-anak bagi mengisi masa berkualiti. Anak akan merasai di sayangi, dihargai dan gembira. Kerinduan anak kepada kita juga terubat.
Kita juga perlu bermain bagi mengubat rindu, memberi dan menerima kasih sayang anak dan menghilangkan stress.
Bermain apa sahaja permainan dalam atau luar rumah yang sesuai dengan tahap anak, masa dan persekitaran. Permainan tradisi jangan dilupakan.
Aktiviti luar yang agak fizikal dan lasak juga baik selepas balik kerja. Berlari bersama anak kecil misalnya sangat menggembirakan dan dapat mengeluarkan peluh dan toksin.
Kita akan rasa lebih bertenaga menjalankan kerja-kerja rumah selepas itu. Emosi anak akan lebih stabil dan kita dapat menyiapkan kerja dengan lebih tenang. Anak dan kita akan tidur dengan lebih lena dan bangun lebih segar untuk memulakan hari esok.
2. Aktiviti bersama alam
Sentiasa memelihara hubungan dengan alam. Anugerah alam ciptaan Allah SWT berupaya menenangkan, menyemai iman dan penawar bagi manusia. Aktiviti berkebun, menanam dan menjaga pokok bunga bukan sahaja menyihatkan malah membantu memupuk anak memelihara alam.
Nature walk dengan anak. Boleh guna deria untuk merasai kehadiran Allah SWT. Mungkin boleh bawa balik apa-apa untuk letak di sudut alam dalam atau luar rumah. Kanak-kanak seronok dan mereka belajar secara natural.
Bagi saya berjalan di tepi pantai, mengutip cengkerang untuk hiasan akuarium keluarga dan duduk di atas buai di bawah pokok mangga rumah kami sambil melihat kehijauan taman kecil ciptaan kami sekeluarga antara aktiviti alam yang cukup mendamaikan.
Saya juga suka memandu sambil melihat alam sekeliling dengan alunan Al-quran, nasyid, zikir.
3. Memelihara binatang
Kanak-kanak biasanya sangat sukakan binatang. Hobi memelihara haiwan peliharaan menyeronokkan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Ia juga membantu menyemai sikap tanggungjawab anak menjaga kebajikan haiwan yang mereka sayangi.
Bagi saya melihat ikan-ikan berenang di dalam akuarium kecil rumah kami sambil menghirup secawan kopi adalah satu masa istimewa setiap hari.
4. Aktiviti kreatif
Mewarna, melukis, menconteng, menampal, kolaj, membuat kraf, bermain doh dan apa sahaja aktiviti kreatif. Yang penting aktiviti dilakukan dengan bebas mengikut kreativiti masing-masing.
5. Bercerita/berbual
Cerita dan berbual apa saja dan di mana sahaja. Sambil bergolek-golek di atas katil misalnya. Bukan sahaja anak kecil malah anak remaja saya masih suka aktiviti begini.
6. Nyanyian dan pergerakan kreatif
Anak kecil suka dinyanyikan. Menyanyi bersama juga aktiviti yang menyeronokkan. Boleh saja menari atau mengayakan apa sahaja pergerakan mengikut alunan lagu atau muzik. Seperti permainan tradisi, nyanyian tradisi jangan dilupakan.
7. Rehlah keluarga
Berkelah, balik kampung, berjalan malah shopping juga merehatkan minda.
8. Rutin Harian seperti memasak dan mengemas boleh menjadi seronok sekiranya kita kreatif. Libatkan seisi keluarga. Baru-baru ini buat pancake bersama anak saya Izzuddin 8 tahun. Saya hanya membimbing. Anak lebih seronok membancuh dan memasak dengan pengawasan penggunaan dapur.
9. Hobi.
Apa sahaja hobi. Saya masih lagi menjahit kadang-kadang. Menjahit berupaya menenangkan fikiran saya.
10. Recharge. Take time out.
Ya. Ambil masa untuk diri dan pasangan. Kita masih perlu masa sendiri dan bersama pasangan.
Sulami lah kehidupan dengan aktiviti-aktiviti yang seronok, menenangkan, menyihatkan dan lebih bermakna bersama keluarga. Saya namakan ini masa berkualiti. Hargailah apa yang kita ada.
Manfaatkan alam dan kehidupan yang indah ini. Moga kita kembali fokus dan bertenaga. Amin.